merungkai misteri dan rahsia di sebalik penciptaan alam

  • MISTERI ALAM

    Dunia ini penuh dengan misteri.Fenomena alam, tapak, fosil dan manuskrip kuno dapat membuatkan kita kagum. Penemuan-penemuan ini menimbulakan pelbagai tanda tanya. Segala peninggalan ini seolah-olah memberi satu pesanan dan jejak misteri kepada generasi berikutnya supaya di kaji dan di rungkai.

    Read More
  • ASAL USUL ISRAEL

    Apakah yang dimaksudkan dengan bani Israel?. Bani Israel maksudnya ialah anak-anak Israel dengan nama lainnya keturunan Israel. Berdasarkan beberapa penulisan, mengatakan bahawa bangsa Israel ini mempunyai kaitan dengan bangsa arab. Mereka mempunyai moyang yang sama iaitu nabi Ibrahim.

    Read More
  • QURAN DAN SAINS

    Sains dan islam tidak dapat di pisahkan. Umat islam disuruh Allah untuk mengkaji rahsia alam semesta secara sistematik. "Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan, dan langit bagaimana ia ditegakkan, dan bumi bagaimana ia dihamparkan".(Al-Ghasyiah ayat 17-20)

    Read More

Wednesday, 17 June 2015

MISTERI: ADAKAH ZAMAN BATU ADALAH SATU REKAAN?

Gambaran masyarakat zaman batu oleh para evolusionis.

Tahukah anda bahawa 700,000 tahun dahulu, manusia telah berlayar dengan binaan kapal yang bagus, dan memiliki kemahiran artistik yang cukup baik.Adakah anda tahu bahawa Neanderthal yang hidup 80,000 tahun dulu dan digambarkan oleh para evolusionis sebagai ‘manusia beruk’, juga mampu membuat alatan muzik, memperoleh keselesaan dari pakaian dan aksesori, dan berjalan di atas pasir panas beralaskan sandal.

Mungkin anda tidak pernah mendengar fakta-fakta tersebut, ini kerana kita telah diberi tafsiran bahawa manusia tersebut adalah separuh manusia dan separuh beruk, tidak mampu berdiri dengan baik, kurang kemahiran untuk berkomunikasi dan hanya mengeluarkan bunyi dengusan yang pelik. Ini kerana dalam masa lebih daripada 150 tahun, kita telah disogok dengan penipuan ini.

Tujuannya adalah untuk meneruskan perjuangan falsafah materialis yang menafikan kewujudan Allah SWT. Menurut perspektif yang menyeleweng ini, alam semesta dan kebendaan adalah abadi. Dengan erti kata lain, ia tiada permulaan, dan juga tiada Pencipta. Asas yang kononnya saintifik untuk kepercayaan karut ini adalah teori evolusi.

teori evolusi manusia
Oleh kerana mereka mendakwa bahawa alam semesta tiada Pencipta, para evolusionis harus memberi penjelasan tentang bagaimana kehidupan dan sejumlah spesis lain wujud di bumi ini. Untuk tujuan itu, mereka menggunakan teori evolusi. Berdasarkan teori ini, semua kejadian dan kehidupan di alam semesta berlaku secara kebetulan. Sebahagian benda tidak bernyawa di zaman purbakala bercantum secara tidak sengaja lalu membentuk sel hidup pertama. Kemudian organisma terwujud hasil daripada ketidaksengajaan selama jutaan tahun ini. Dan akhirnya manusia wujud sebagai peringkat terakhir rantaian evolusi.

Sejarah awal manusia yang dianggap hasil daripada perubahan secara kebetulan selama jutaan tahun, dan setiap satunya lebih mustahil daripada perubahan terakhir, telah diselewengkan untuk menyokong senario songsang ini. Evolusionis, yang sememangnya ketiadaan bukti-bukti kukuh, mendakwa bahawa asal sejarah manusia adalah seperti berikut: Bermula seperti bentuk kehidupan lain, berlangsung daripada organisma purba hingga kepada manusia yang dipercayai perkembangan paling maju berbanding yang lain. Oleh itu, sejarah manusia kononnya berkembang daripada komuniti primitif kepada masyarakat bandar yang moden. Hakikatnya, anggapan ini sama sekali tidak mempunyai sebarang bukti. Ia juga menggambarkan sejarah manusia seperti yang didakwa oleh falsafah materialis dan teori evolusi.

Para saintis evolusionis , dalam usaha mereka untuk menyokong proses evolusi yang dianggap bermula daripada sel tunggal kepada organisma berbilang sel, kemudian daripada beruk kepada manusia, bukan saja telah ‘menulis’ semula asal-usul manusia, bahkan juga ‘mencipta’ era khayalan seperti ‘Zaman Orang Batu’ dan ‘Zaman Batu’ untuk menjelaskan cara hidup ‘Orang Primitif’. Evolusionis, yang percaya pada kepalsuan bahawa manusia dan beruk berasal daripada moyang yang sama, telah memulakan usaha dalam kajian baru demi membuktikan dakwaannya. Untuk itu, mereka meneliti setiap batu, atau mata panah, atau mangkuk yang ditemui semasa penggalian arkeologi. Walau bagaimanapun, gambaran ‘manusia beruk’ duduk di dalam gua yang gelap sambil berpakaian berbulu serta tidak mampu bercakap dengan baik, semuanya adalah rekaan semata-mata. Orang primitif tidak pernah wujud, begitu juga dengan Zaman Batu. Semuanya adalah pembohongan evolusionis dengan sebahagian bantuan media.

Dakwaan  para evolusionis telah diruntuhkan sepenuhnya oleh perkembangan terbaru dalam bidang sains terutamanya dalam ilmu biologi, paleontologi, mikrobiologi, dan genetik. Pendapat bahawa masing-masing spesis berubah menjadi ‘versi terbaru’, telah dibuktikan salah. Manusia juga tidak berkembang daripada makhluk beruk. Manusia sememangnya adalah manusia sejak kewujudan mereka lagi, dan mempunyai peradaban canggih sehingga ke hari ini. Maka, ‘evolusi sejarah’ juga tidak pernah terjadi. Manusia wujud di dunia ini bukan melalui evolusi, tetapi dengan penciptaan sempurna Allah yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui.

Seperti mana yang telah dilakukan dalam evolusi manusia, perspektif sejarah evolusionis juga mengkaji sejarah manusia dengan membahagikannya kepada beberapa jangka waktu, seperti Zaman Batu, Zaman Gangsa dan Zaman Besi. Oleh kerana gambar khayalan ini dipaparkan di sekolah, surat khabar dan televisyen, kebanyakan orang menerima rekaan ini tanpa soal dan membayangkan manusia dulu kala hidup dengan hanya menggunakan peralatan batu purba dan ketiadaan teknologi.

Tetapi gambaran sebenar muncul apabila penemuan arkeologi dan fakta-fakta saintifik dikaji. Kesan dan tinggalan yang ada sehingga kini seperti peralatan, jarum, serpihan seruling, dekorasi dan hiasan peribadi, menunjukkan dari segi sosial dan budaya bahawa manusia sememangnya telah menjalani kehidupan bertamadun sepanjang sejarah. Ribuan tahun dahulu, manusia tinggal di rumah, terlibat dengan pertanian, bertukar barangan, menghasilkan  tekstil, makan, melawat kenalan, meminati muzik, membuat lukisan, merawat orang sakit, melakukan penyembahan . Sepanjang sejarah, seperti mana hari ini, terdapat golongan yang percaya dengan kewujudan Allah, dan juga golongan pagan dan ateis.

Sejak dulu lagi, tentunya ada di antara manusia yang hidup serba ringkas dan dalam keadaan primitif, dan ada juga masyarakat yang hidup lebih maju. Tetapi ini sama sekali tidak membuktikan evolusi sejarah, kerana sementara satu bahagian dunia melancarkan kapal ke angkasa, masyarakat di satu bahagian lagi masih tidak dilengkapi dengan kemudahan elektrik. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa mereka yang membina kapal angkasa adalah lebih maju secara mental atau fizikal – dan berkembang jauh dan lebih berbudaya – tidak juga bermakna golongan yang satu lagi hampir kepada manusia beruk khayalan. Semua ini sekadar menunjukkan perbezaan dalam budaya dan tamadun.




Post yang akan datang akan memaparkan bukti-bukti saintifik yang menyokong pernyataan bahawa zaman batu adalah satu rekaan.


Wednesday, 3 June 2015

TUJUAN HIDUP KITA


Apabila memperkatakan tentang tujuan hidup, kita sebenarnya membincangkan tentang misi hidup. Kenapa kita berada di dunia ini?  Kenapa kita di hidupkan? Ini adalah persoalan-persoalan penting mengenai kehidupan kita.  Jika kita tidak ada tujuan hidup, kita sebenarnya berada dalam kegelapan. Apabila kita berada dalam kegelapan, kita berada dalam dua situasi. Pertama, kita tidak mengetahui, kedua  kita tidak menguasai. Begitulah dengan hidup kita. Apabila kita tidak mengetahui tujuan hidup, kita umpama dalam kegelapan. Kita tidak dapat mengetahui dan menguasai kehidupan kita. Akhirnya hidup kita akan di bawa arus, dan kita tidak lagi dapat mengawalnya.

Pepatah ada mengatakan, hidup ini adalah untuk menyelesaikan masalah. Satu masalah selesai, timbul pula masalah baru. Contoh, sebelum kahwin masalah untuk mencari pasangan, selepas itu masalah untuk dapatkan anak, apbila dapat anak, masalah persekolahan anak dan begitulah seterusnya, sentiasa ada masalah. Kehidupan kita ini umpama benang yang sangat kusut, jika direntap ia akan putus. Oleh itu apabila kita nak selesaikan benang yang sangat kusut ini, kita mesti mencari puncanya terlebih dahulu. Begitulah dengan kehidupan kita, kadang-kadang  kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah, untuk selesaikannya jangan kita terus terjah, sebaliknya  hendaklah kita kembali kepada tujuan hidup,  apabila kita cari puncanya, disitu kita rungkaikan  InsyaAllah persoalan hidup itu dapat kita rungkaikan.


Apakah pentingnya tujuan hidup? Tujuan hidup inilah sebenarnya yang memberi erti kejayaan kebahgiaan dan ketenangan sebenar dalam kehidupan kita. Apabila kita mencapai tujuan hidup kita barulah kita dikatakan berjaya, apabila kita berjaya mencapai tujuan hidup kita barulah boleh dikatakan kita peroleh kebahagiaan. Mana mungkin kita akan peroleh kejayaan dan kebahagiaan tanpa kita memperoleh tujuan hidup kita terlebih dahulu.

Contohnya apabila seorang rakan anda kehilangan barang, kemudian anda ingin membantu mencarinya, tetapi rakan akan tidak tahu, apa bentuk dan warna barang itu. Adakah barang itu akan di jumpai? Sudah semestinya tidak. Begitulah dengan kehidupan kita sekarang. Kadang-kadang ada manusia yang mencari dalam kehidupanya sesuatu yang dia sendiri  tidak pasti. Mana mungkin dia akan menjumpainya.

Pakar-pakar, mengatakan kebanyakan manusia ini bukan tidak boleh berjaya tetapi mereka tidak tahu apa erti kejayaan yang sebenar.  Contoh dalam permainan bola sepak. Jika dimainkan tanpa gawang gol, apa akan jadi?. Huru hara jadinya,  semua hilang arah, penyerang  tidak tahu kemana hendak di tendang bola, pertahanan tak tahu nak pertahan kan apa,  penjaga gol tidak tahu apa yang nak di jaga, dan kita sebagia penonton akan ketawa. Kita akan katakan bertapa bodohnya mereka bermain bola tanpa gawang gol. Tetapi hakikatnya kita sedang ketawakan ramai manusia didunia ini yang hidupnya tidak ada tujuan hidup seperti mana orang main bola tanpa gawang gol. Mereka ini mencari sesuatu yang tidak pasti, akhirnya hidup mereka ini tidak kemana-mana.

Ramai manusia yang kecewa setelah mendapat apa yang mereka hajati. Kecewa? Ya. Ini kerana apa yang mereka hajati itu sebenarnya bukan tujuan yang sebenar. Contoh ramai manusia yang kaya raya, yang ternama, yang glamor, akhirnya terlibat dengan dadah, ketagih arak dan seterusnya membunuh diri ketika mereka berada di puncak kejayaan. Kenapa perkara sebegini berlaku? Ini kerana mereka fikir kejayaan dan kekayaan mereka itu adalah tujuan hidup mereka. Akhirnya mereka tidak tahu apa yang nak dilakukan seterusnya dalam hidup mereka. Oleh itu penting untuk tahu apa tujuan hidup kita yang sebenar.


Imam Ghazali berkata, tujuan hidup seseorang menentukan cara hidupnya, cara hidup seseorang  menentukan cara matinya, cara mati seseorang menentukan caranya di bangkitkan di padang mahsyar  dan cara seseorang di bangkitkan di padang mahsyar menentukan  sama ada seseorang itu dimasukan kedalam syurga atau neraka. Maka jelas lah disini penting kita betulkan cara hidup kita, supaya cara kita mati dan cara kita dibangkitkan betul dan seterusnya meletakan kita berada di tempat yang betul. Namun untuk menentukan cara hidup kita yang betul, perkara yang paling utama ialah menentukan tujuan hidup kita terlebih dahulu.

Dalam islam sekiranya kita mensasarkan sesuatu samaada jauh atau dekat, yang paling utama sasaran kita hendaklah tepat. Dalam islam apabila kita melalui tujuan hidup ini, yang paling penting kita perlu melalui jalan yang benar walaupun mungkin kita tidak sampai ke sasaran yang sebenar, kerana Allah menilai kita sebaik sahaja kita melalui jalan kearah tujuan itu. Namun jika kita melalui jalan yang salah kita tidak akan di nilai lansung oleh Allah.  

Tujuan hidup kita yang sebenar telah ditentukan oleh Allah. Disaat usia kita yang makin meningkat, Kita perlulah sentiasa menanyakan dalam diri kita apa sebenarnya tujuan hidup kita ini., Apakah kita makin dekat dengan tujuan hidup kita, atau kita masih jauh lagi  atau lebih malang lagi kita masih di landasan yang salah. Buka mata, buka hati, kenali diri.

DeanSakuragi


Monday, 1 June 2015

(HIDAYAH MILIK ALLAH SIRI 3) Al Quran sentuh Dr Gary Miller


Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran yang dianggap sebagai satu keajaiban.

"Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian. Saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam”.

"Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja.Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya," akui Dr. Miller. Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran. Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah, namun tidak dijumpainya."Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.

Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening. Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran. Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa' ayat 82, saya tambah terkejut," katanya.

Firman Allah
“…Patutkah mereka (bersikap demikian),tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah,nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak didalamnya…” ( An Nisa : 82 )


Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar. Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya."Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan. Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun kesilapan”. katanya"

Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya' ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar. Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet," katanya.

Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.

Thursday, 28 May 2015

(QURAN DAN SAINS SIRI 2) Kejadian Langit Dan Bumi Daripada Asap

Alam semesta tidak terus wujud dalam bentuk yang kita lihat pada hari ini. Sebaliknya ia melalui beberapa proses tertentu. Antara proses itu adalah kelahiran gas-gas hidrogen dan helium yang kemudiannya bercantum sehingga menjadi gumpalan asap raksaksa.
Semasa menceritakan mengenai asap ini, para saintis mengaitkannya dengan gas-gas (terutamanya hidrogen dan helium) yang wujud seperti awan tebal di peringkat awal dahulu. Para saintis menyifatkan asap daripada gas ini sebagai dark clouds, cloud of gas, fog of neutral hydrogen and helium, hot mass of gas dan yang seumpamanya. Ia bermaksud, gas-gas di peringkat awal kejadian langit dan bumi wujud seperti bentuk awan-awan hitam, awan-awan daripada gas, awan-awan gas daripada hidrogen dan helium, gas bersuhu tinggi dan yang seumpamanya.

Pertemuan semasa mengesahkan fenomena kejadian alam daripada asap ini. Dalam artikel bertajuk gas clouds in space: remnants of the big bang bertarikh 14 januari 2000, keay Davidson melaporkan para saintis menemui gas hydrogen yang bergerak seumpama awan di kawasan angkasa. Mereka beranggapan gumpalan gas ini wujud memenuhi kosmos selepas berlakunya ledakan big bang dahulu.

Kejadian langit dan bumi daripada asap menyentuh berkenaan kejadian objek-objek daripada asap. Oleh sebab bumi adalah satu objek, maka langit yang di nyatakan Allah juga merupakan objek-objek seperti bintang, galaksi dan seumpamanya. kesemua objek ini lahir daripada asap.

Dalam surah Fussilat ayat 11 Allah menyatakan :

Maksudnya: "Kemudian Dia menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa'. Keduanya menjawab, 'Kami datang dengan tunduk'."

Di sini Allah menyatakan langit dan bumi diperingkat awal dahulu kosong daripada sebarang objek di langit. Yang wujud hanyalah asap. Daripada asap ini lahirlah bintang-bintang serta galaksi disusuli dengan kelahiran sistem suria dan bumi. Perkataan Dukahn yang di maksudkan di sini ialah asap,dalam bahasa inggerisnya ialah smoke. Penggunaan kalimat asap atau smoke ini selari dengan penemuan semasa kerana asap lahir dari satu suasana yang panas dan suasana di peringkata wal kejadian alam sememangnya panas.

Antara saintis yang kagum dengan kenyataan Quran ini adalah profesor Yoshihide Kozai daripada Universiti Tokyo, Jepun. Beliau adalah pengarah National Astronomical Observatory di Mikata, Tokyo, Jepun. Beliau ditunjukkan ayat-ayat Quran yang menceritakan berkenaan kejadian langit dan bumi. Selepas mengkaji ayat-ayat itu, beliau merasakan seolah-olah ayat itu diceritakan oleh seorang yang melihat kejadian alam ini di peringkat tertinggi. Kuasa yang menceritakan kejadian ini mampu melihat kesemua apa yang berlaku. Berhubung dengan kejadian langit dan bumi daripada asap, beliau berpendapat penemuan-penemuan semasa menunjukkan fenomena-fenomena ini benar-benar berlaku. Alam sebelum ini memang wujud dalam bentuk gumpalan asap. Daripada asap itulah lahirnya bintang-bintang dan kelahiran itu menjadi batu asas kepada kelahiran alam ini. Hal ini dilaporkan di dalam a brief understanding islam, darus salam publications, edisi kedua, mei 1990.



Sumber: Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin.

(QURAN DAN SAINS SIRI 1) Teori Big Bang Dan Surah Al-Anbiya Ayat 30


Teori big bang mengatakan alam inI pada mulanya adalah bercantum padu sekitar 13.7 bilion tahun dahulu. Kemudian berlakunya pengembangan dan pengecutan sehingga menghasilkan bintang-bintang, planet-planet, galaksi dan seumpamanya.

Teori ini pada mulanya dibina berasaskan formula theory of relativity yang diperkenalkan oleh Albert Einstein pada tahun 1915. Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik rusia, Alexander Friedmann, mengembangkan lagi teori ini. Pada tahun 1929, seorang tokoh astronomi dari amerika, Edwin Hubble menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori bing bang. Dalam kajiannya beliau mendapati, alam ini sedang mengembang. Penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang mengatakan alam ini bercantum padu pada asalnya dan mengembang selepas itu. Hal ini ada disebut dalam Encarta Encylopedia dalam segmen big bang theory (introduction)

Firman Allah: 
Apakah orang-orang orang kafir itu tidak melihat langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (ratqa) kemudian kami pisahkan antara keduanya (fataq). Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. 
(Al-Anbiya: 30)

Terdapat dua perkataan dalam ayat ini yang perlu di beri perhatian, iaitu ratqa dan fataq. Ratqa berasal daripada perkataan Arab rataqa yang bermaksud sesuatu yang terhimpun, melekat dan mengucup. Fataq berasal daripada perkataan Arab fataqa yang bermaksud sesuatu yang terbuka,terungkai dan mengembang.

Imam said bin jubair, seorang ulama tabiin mentafsirkan ayat ini seperti berikut: langit dan bumi sebelum ini melakat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan.

Antara pakar yang kagum dengan ayat ini adalah Dr. Alfred Kroner.seorang proffesor dalam bidang sains geologi. Berhubung dengan ayat ini, beliau berkata:" Melihat asal-usul Muhammad, saya rasa hampir mustahil untuk beliau mengetahui langit dan bumi mempunyai asal-usul yang sama. Hal ini kerana ilmu mengenainya baru diketahui beberapa tahun baru-baru ini, itupun dengan menggunakan alat-alat yang canggih. Seseorang yang tidak mengetahui ilmu fizik nuklear 1400 tahun dahulu saya rasa,tidak akan mampun mengetahui tentang hal ini."



Sumber: Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin.

(HIDAYAH MILIK ALLAH SIRI 2) Dr. Maurice Bucaille Memeluk Islam Selepas Bedah Mumia Firaun

Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun. Ramsess II yang sangat terkenal pada tahun 1976. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Presiden Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.


Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?. Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya. Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine).


Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis. Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan. Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92)

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi. Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah!

(HIDAYAH MILIK ALLAH SIRI 1) Tokoh Kristian, Dr Jerald Frederick Dirks Memeluk Islam.


Dr. Jerald adalah seorang tokoh Kristian yang mendalami Bible serta menguasai ilmu ketuhanan agama Kristian. Pada tahun 1974, beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam Bidang Ketuhanan (Master of Divinity) daripada Universiti Harvard. Seterusnya beliau memperoleh gelaran Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang psikologi daripada Universiti Denver. Beliau pernah memegang jawatan sebagai seorang paderi di gereja United Methodist, Kansas.
Sebagai seorang ilmuwan dalam agama Kristian, beliau menyedari terdapat beberapa masalah besar dalam ajaran agama Kristian. Salah satu daripadanya berkaitan dengan ketulenan kitab Bible. Bible yang wujud pada hari ini berbeza dengan Bible yang asal. Tahukah anda apakah itu Bible? Ia adalah kitab suci agama Kristian. Penganut-penganut Kristian mempercayai bahawa Bible adalah kalam Tuhan. Namun, Dr. Jerald tidak bersetuju dengan pendirian ini. Menurut beliau, tidak semua isi Bible adalah kalam Tuhan. Bukti-bukti sahih menunjukkan bahawa sebahagiannya adalah tulisan manusia yang dimasukkan ke dalam Bible.
Sebenarnya, kitab Injil dan Bible adalah berbeza. Injil adalah kitab Allah s.w.t. yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s. Namun Injil yang asal akhirnya hilang dan penulisan semula kitab itu dilakukan oleh tokoh-tokoh Kristian. Ketika penulisan semula ini dilakukan, banyak idea dan konsep baru dimasukkan ke dalamnya. Hal ini disahkan oleh pakar-pakar Bible antaranya, Profesor Bruce Manning Metzger (Profesor Emeritus kitab Perjanjian Baru di Princeton Theological Seminary), dan Profesor Bart D. Ehrman (Profesor Kajian Agama di University North Carolina, Chapel Hill). Ini menjadikan Bible berbeza sekiranya dibandingkan dengan kitab Injil yang asal.
Dr. Jerald Frederick Dirks menyedari tentang hal ini. Akhirnya, Dr. Jerald berminat mengkaji agama Islam. Bagi tujuan itu, beliau memanfaatkan kitab terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris. Mesej Al-Quran yang lengkap akhirnya meyakinkan beliau tentang kebenaran agama Islam. Pada tahun 1993, beliau memeluk agama Islam. Begitulah pengaruh Al-Quran ke atas Dr. Jerald Frederick Dirks.